Awas, Simpton Penyakit Buah Pinggang
TAHAP kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Oleh itu, kerosakan buah pinggang merupakan masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya.
Pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan. Jika tidak dirawat dengan sempurna, ia menyebabkan kegagalan buah pinggang (renal failure). Kedua-dua jenis kegagalan buah pinggang - kegagalan akut dan kronik - akan mengganggu kecekapan fungsi buah pinggang.
Fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah bagi membuang air berlebihan, garam berlebihan dan bahan kumuh/bertoksin dari tubuh.
Fungsi utama lain, membina beberapa jenis hormon yang mengawal beberapa fungsi tubuh seperti pengawalan tekanan darah dan pembinaan sel darah merah.
Buah pinggang juga berfungsi mengawal pH darah serta bertanggung jawab dalam mengaktifkan sejenis vitamin D yang membantu tubuh menyerap Kalsium yang digunakan untuk membina tulang dan menyelaras fungsi otot.
Tanda utama kerosakan buah pinggang sakit pinggang (low back pain). Kadang-kadang sakit pinggang berlaku hanya di sebelah pinggang iaitu sama ada bahagian kanan atau kiri pinggang.
Apabila seseorang misalnya sering mengalami sakit pinggang setiap kali tidur mengiring sebelah kiri, maka besar kemungkinan buah pinggang kirinya sedang mengalami kerosakan atau telah mengalami kerosakan pada tahap tertentu.
Kesakitan sebelah buah pinggang atau kedua-dua belah buah pinggang menyebabkan anda agak sukar untuk membuang air kecil pada waktu pagi atau ketika terjaga pada waktu tidur.
Kulit gatal berpanjangan
Selepas membuang air kecil, penghidap akan berasa lega sedikit kerana kesakitan di bahagian pinggang beransur-ansur kurang. Ini adalah tanda amaran awal seseorang mengalami kerosakan buah pinggang.
Fungsi utama buah pinggang ialah membuang bahan kumuh/bertoksin yang terdapat dalam darah.
Jadi, apabila ia rosak dan gagal berfungsi bahan buangan berkumpul dalam darah lalu menyebabkan seseorang mengalami ruam, rasa gatal yang keterlaluan dan kulit kering. Ini juga merupakan tanda-tanda awal kerosakan buah pinggang.
Bagaimanapun ruam, kulit gatal keterlaluan dan kulit kering juga adalah simptom berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti ketidakharmonian fungsi hati, ketidakseimbangan nutrien berpunca daripada pelbagai faktor dan infeksi kulat.
Buah pinggang menentukan sifat air kencing dan kekerapan buang air kecil. Apabila ia mengalami kerosakan sifat air kencing dan kekerapan buang air kecil akan berubah.
Beberapa perubahan yang berlaku akibat kerosakan buah pinggang termasuk air kencing berbuih, kerap kencing pada waktu malam, semakin kerap buang air kecil sepanjang waktu dengan sifat air kencing yang kurang berwarna.
Kekerapan buang air kecil juga adalah tanda kerosakan buah pinggang atau buang air kecil pada kuantiti kecil dengan sifat air kencing berwarna gelap.
Air kencing mengandungi darah apabila didapati air kencing campur darah lalu menghasilkan warna air kencing berwarna merah.
Bagaimanapun perubahan kekerapan buang air kecil dan sifat air kencing yang sama juga mungkin berpunca daripada sebab-sebab lain. Pengambilan ubatan mengawal kolesterol jenis statin, minum teh/kopi, makan buah-buahan keluarga langsat dan tembikai menyebabkan seseorang kerap buang air kecil.
Kerap buang air kecil juga boleh berpunca daripada stres kronik, lemah syahwat, masalah ereksi, terlalu kerap melakukan hubungan biologi serta sering melancap (beronani).
Perubahan kekerapan buang air kecil dikatakan sebagai tanda buah pinggang mengalami kerosakan tahap sederhana manakala perubahan warna air kencing pula merupakan tanda buah pinggang mengalami kerosakan lebih akut.
Comments
Post a Comment