Mati Pucuk Mungkin Tanda Penyakit Kronik
Lemah tenaga batin atau mati pucuk merujuk kepada ketidakupayaan lelaki untuk mengekalkan ketegangan yang mencukupi melakukan hubungan seks.
Kebanyakan lelaki pernah melalui kesukaran untuk mendapatkan ereksi, namun tidak semestinya ia penyakit yang perlu dibimbangkan dan kadangkala ia hanya bersifat sementara.
Jika ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan itu berterusan selama beberapa minggu atau bulan, segeralah dapatkan bantuan perubatan khusus dengan berjumpa doktor, bukannya mencuba pelbagai kaedah alternatif yang mungkin boleh memberi kesan lebih bahaya.
Lemah tenaga batin boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan masalah keyakinan diri yang secara tidak langsung memberi kesan negatif khususnya dalam hubungan suami isteri.
Peranan wanita dalam membantu pasangannya menyelesaikan masalah ini amat diperlukan dan isteri antara individu yang perlu memainkan peranan penting meringankan ‘penderitaan’ suami.
Sebilangan besar lelaki yang mempunyai masalah lemah tenaga batin berasa malu untuk berbincang dengan doktor mengenai perkara ini.
Malah, ramai juga yang enggan bercakap perkara ini dengan isteri kerana ia dianggap menunjukkan kelemahan mereka. Pada hal, keadaan ini boleh dirawat dengan berkesan.
Lemah tenaga batin juga adalah kesan kepada masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau penyakit kardiovaskular yang boleh mengancam nyawa.
Dalam hal ini juga peranan isteri amat diperlukan dengan memujuk dan pergi bersama-sama suami ke pusat rawatan berhampiran bagi membolehkan rawatan diberikan.
Apa yang penting jangan sesekali membiarkan masalah ini berterusan tanpa ada sebarang langkah mengubati kerana lama kelamaan penyakit itu menjadi lebih parah dan dikhuatiri memberi kesan kepada hubungan suami isteri.
Sumber Asal: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Comments
Post a Comment