Hidup Bersama Dialisis
SETIAP tahun, lebih daripada 3,000 orang penduduk Malaysia disahkan menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang kronik dan menerima rawatan dialisis. Buat masa ini, lebih 15,000 penduduk Malaysia sedang menerima rawatan dialisis. Pada tahun 2010 ianya dijangka meningkat kepada 20,000 orang.
Mengikut jangkaan, pesakit yang menerima rawatan dialisis meningkat sebanyak tujuh peratus setiap tahun.
Hidup dengan menerima rawatan dialisis juga amat menyeksakan. Bila seseorang mendapat tahu mereka mengalami kegagalan buah pinggang, diri mereka pasti hampir putus harapan untuk hidup lagi.
Pesakit juga selalu berfikir bahawa dirinya tidak dapat hidup lama kerana bergantung kepada mesin dialisis untuk hidup dan seolah-olah terasing dan tidak diperlukan lagi di sisi keluarga dan rakan. Ini menyebabkan pesakit mengalami kemurungan akibat tekanan yang dihadapi.
Di samping tekanan emosi, pesakit juga terpaksa melalui perubahan dari segi fizikal. Ada beberapa aktiviti dan tanggungjawab yang tidak dapat dilaksanakan atau dilakukan seperti sebelum ini. Ada pesakit yang perlu menukar kerja dan gaya hidup kerana akan berasa cepat letih dan kurang berupaya.
Sesetengah bahagian tubuh pesakit akan membengkak akibat pengumpulan lebihan air dan keadaan ini hanya kembali normal selepas rawatan dialisis dilakukan.
Apa itu dialisis?
Makanan yang kita ambil adalah untuk bekalan tenaga dan membaik pulih tisu-tisu badan sementara bahan kumuh dan buangan akan dialirkan keluar melalui darah.
Darah bersama sisa buangan tisu badan akan ditapis oleh unit-unit kecil di dalam buah pinggang yang dikenali sebagai nefron.
Melalui proses penyaringan ini, bahan buangan serta air berlebihan akan disalurkan keluar dari badan melalui air kencing. Namun, apabila unit-unit nefron ini rosak, maka daya tapisan bahan buangan akan berkurangan.
Rawatan dialisis akan membantu tugas-tugas buah pinggang yang rosak serta membantu pengeluaran lebihan air serta bahan-bahan kumuh dari darah dan membantu mengimbangi elektrolit dalam badan.
Rawatan dialisis merupakan salah satu rawatan pilihan di samping rawatan pembedahan pemindahan buah pinggang bagi pesakit dengan kegagalan buah pinggang kronik.
Jenis-jenis dialisis
Terdapat dua jenis rawatan dialisis yang sering dilakukan iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal.
Dalam rawatan hemodialisis, pesakit perlu menjalani satu prosedur di mana dua jarum akan dicucuk pada lengan pesakit untuk mengalirkan darah pesakit kepada satu alat penapis iaitu 'dializer' yang berfungsi sebagai buah pinggang tiruan bagi menapis keluar bahan kumuhan serta air berlebihan dan darah yang bersih disalurkan kembali ke dalam badan pesakit. Rawatan ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu.
Bagi rawatan dialisis peritoneal pula, ianya dilakukan dengan memasukkan satu tiub kateter ke dalam abdomen pesakit. Sejenis cecair dimasukkan melalui tiub kateter ke dalam abdomen dan selepas beberapa jam cecair ini akan bertindak menarik keluar bahan-bahan kumuh dari darah dan akan disalurkan keluar untuk dibuang. Cecair yang baru akan dimasukkan semula bagi pusingan rawatan seterusnya.
Rawatan dialisis peritoneal ini boleh dilakukan dengan selesa di rumah pesakit sendiri, sebanyak empat hingga enam pusingan rawatan sehari.
Kesan-kesan kerosakan buah pinggang.
Buah pinggang yang rosak tidak lagi berkesan dalam menjalankan fungsinya seperti mengawal tekanan darah.
Dengan ini pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang kronik perlu mengawasi pemakanan dan minuman mereka. Mereka juga terdedah kepada risiko dan kesan sampingan terhadap rawatan dialisis.
Kesan sampingan proses dialisis termasuk gangguan tidur, kulit kering, kekejangan otot, loya, muntah-muntah, pening kepala, jangkitan kuman, pendarahan dari tempat cucukan jarum, serta penurunan mendadak tekanan darah (hypotensi).
Biasanya selepas lima tahun menjalani rawatan dialisis, pesakit mungkin akan mengalami DRA atau Dialysis Related Amyloidosis di mana berlakunya pemendapan protein-protein dari darah pada tendon dan sendi-sendi pesakit yang mengakibatkan pesakit mengalami kesakitan pada sendi mereka.
Pesakit juga boleh mendapat jangkitan Hepatitis B lantaran darah pesakit terdedah semasa menjalani rawatan dialisis. Keadaan anemia (kurang darah merah) juga boleh berlaku akibat hormon erythropoietin berkurangan di sum-sum tulang.
Kos perubatan
Pesakit perlu mendapatkan rawatan hemodialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu atau kira-kira 13 kali sebulan. Di hospital-hospital swasta, pesakit memerlukan sehingga RM3,250 sebulan bagi menampung kos bayaran RM250 untuk setiap sesi rawatan hemodialisis.
Comments
Post a Comment